Projek AquaPV Udang Biru usaha negara majukan industri akuakultur





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman






SERASA, Isnin, 7 Julai. - Projek AquaPV Net-Zero Untuk Udang Biru Generasi Seterusnya dan Hab Integrasi A.Ι. (Net-Zero AquaPV Project for Next-Generation Blue Shrimp and A.I Integration Hub ) merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan negara kita untuk memajukan industri akuakultur, khususnya menerusi kebangkitan semula penternakan Udang Biru, satu spesies yang terkenal dengan nilai pemakanan dan komersial yang tinggi. 


Kemudahan tersebut menandakan penternakan kembali udang biru, yang kini dipertingkatkan dengan penyelesaian tenaga bersih dan sistem dipacu Kecerdasan Buatan (Al) dan ia mewakili era baharu ketepatan akuakultur dengan produktiviti yang dipertingkatkan seiring dengan tanggungjawab dan kemampanan alam sekitar.


Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menyatakan demikian semasa berucap pada majlis perasmian projek berkenaan yang berlangsung di Pusat Perikanan Serasa, hari ini.


Menurut Yang Berhormat lagi, projek tersebut selaras dengan misi Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) untuk meningkatkan pengeluaran makanan melalui penggunaan teknologi canggih dan teknik moden, dan pada yang sama juga bagi menegakkan matlamat kelestarian alam sekitar dalam pembangunan ekonomi. 


“KSSUP juga berharap ladang generasi akan datang ini akan menjadi contoh kepada model operasi baharu dan menyumbang lagi dalam menggalakkan pertumbuhan sektor perikanan," jelasnya.


Yang Berhormat seterusnya berkata, selain kepentingannya kepada sektor akuakultur, projek tersebut juga mencerminkan imperatif global yang lebih besar dalam perubahan iklim dan kelestarian.


Permintaan makanan yang meningkat akibat pertumbuhan populasi tambah Yang Berhormat, telah membawa kepada peningkatan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) dan kemerosotan alam sekitar.


Pada 2022 jelas Yang Berhormat, Rangkaian Ketahanan Iklim ASEAN (ASEAN Climate Resilience Network) menekankan bahawa pertanian (termasuk perikanan), perhutanan dan penggunaan tanah menyumbang antara 13 hingga 21 peratus daripada pelepasan GHG global.


Akuakultur ujar Yang Berhormat lagi, juga telah dikenal pasti sebagai sumber pelepasan utama dan oleh itu, Projek Net-Zero AquaPV hari ini memberikan peluang untuk mengubah arah aliran berkenaan.


Yang Berhormat selanjutnya menjelaskan, kolam seluas 10,000 meter persegi yang dikuasakan oleh panel Fotovoltaik, menunjukkan contoh berharga pertanian 'off-grid' dan pengurusan tanah dwiguna yang cekap.


Sistem itu kata Yang Berhormat, menyerlahkan sinergi antara penjanaan tenaga bersih dan akuakultur mampan, sambil menawarkan pelan tindakan untuk sistem pertanian masa hadapan yang mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan menyokong komitmen Negara Brunei Darussalam (NBD) ke arah Sifar Bersih menjelang 2050.


“Lebih daripada sekadar meningkatkan pengeluaran udang, kemudahan ini merangkumi pendekatan holistik yang mengimbangi peluang ekonomi dengan tanggungjawab dan kelestarian alam sekitar.


“Ia adalah satu langkah sejajar dengan matlamat pembangunan jangka panjang NBD yang menyokong keselamatan makanan, peralihan tenaga, dan pertumbuhan karbon rendah," tegas Yang Berhormat.


Tambah Yang Berhormat lagi, seiring perkembangan projek tersebut, ia juga akan berfungsi sebagai platform untuk pembelajaran berterusan, penyelidikan, dan penambahbaikan. Pemantauan prestasi berasaskan data yang menggunakan AI akan membantu meningkatkan hasil, mengembangkan integrasi tenaga boleh diperbaharui, dan membangunkan model boleh diskala yang boleh dijadikan panduan oleh orang lain. Projek tersebut merupakan demonstrasi yang nyata bahawa kita boleh bertani, dan berkembang maju, sambil mengutamakan kelestarian.


Inisiatif tersebut tegas Yang Berhormat, juga menyokong visi negara, iaitu Wawasan Brunei 2035 dengan mempromosi kepelbagaian ekonomi, pemerkasa belia, dan pengurusan alam sekitar.


Melalui kerjasama dengan DABANC Holding Limited, Syarikat Jets Sdn. Bhd., dan rakan ASEAN tambah Yang Berhormat, kita sedang menerajui laluan pembangunan yang boleh memberi inspirasi kepada rantau ini dalam usaha kelestarian mereka.


“Komitmen NBD terhadap teknologi bersih, penggunaan sumber yang bertanggungjawab, dan daya tahan ekonomi menjadi contoh berharga bagaimana industri sedia masa hadapan boleh dibina dengan mengambil kira penjagaan alam sekitar pada jangka yang panjang," ujar Yang Berhormat lagi.


Terdahulu, Yang Berhormat menyatakan penghormatannya untuk bersama-sama merasmikan pelancaran inisiatif berwawasan dan berpandangan ke hadapan tersebut, kemudahan akuakultur udang berkuasa solar berskala besar yang pertama di Asia Tenggara.


Jelas Yang Berhormat, pelancaran tersebut bukan sahaja satu peristiwa penting bagi NBD, tetapi juga demonstrasi bagaimana teknologi canggih, inovasi dan kemampanan boleh bersatu untuk membina masa depan yang lebih baik.


“Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa projek ini mewakili pencapaian penting dalam usaha berterusan negara kita untuk memajukan industri akuakultur terutamanya melalui kebangkitan semula penternakan udang biru," ujarnya.


Yang Berhormat juga berbangga dengan kejayaan fasa awal tersebut dan seterusnya akan mencetuskan komitmen dan kerjasama yang lebih jauh lagi. Dengan tanggungjawab bersama dan pandangan teknologi hadapan, NBD mampu menjadi peneraju dalam membina industri akuakultur yang mampan, berteknologi tinggi, dan berdaya tahan untuk manfaat generasi akan datang.


Close